10/02/2017

WARNA

Setiap dari kita punya berbeza pendapat dan penilaian tentang warna. Ini pandangan saya tentang warna :)

Warna punya banyak erti. Warna mampu menggambarkan pelbagai emosi. Warna juga bisa memberi makna.

Setiap warna yang hadir dalam hidup, terlihat atau tidak, sangat berharga dalam hidup jika diteliti. Seorang isteri memperlihatkan kecantikannya di hadapan suami degan warna. Seorang anak kecil mengenal dunia dengan warna. Seorang programmer membezakan kod yang ditulisnya dengan warna. Seorang kekasih mengenal mesej bunga yang diterimanya dengan warna. Seorang hamba Tuhan mengenal agungnya kuasa Tuhannya dengan warna. Seorang sahabat menyimpan memori bersama sahabatnya di dalam gambar dengan warna. Seorang pelajar mudah menghafal nota-notanya dengan warna. Dengan warna, kita mengenali, menghargai, menafsir dan memahami. Ini baru warna yang bisa kita lihat. Belum lagi dengan yang tak terlihat oleh kita.

Apa pula warna yang tak bisa kita lihat? Itulah warna yang hadir bersama memori dan insan-insan sekeliling. Warna yang tak bisa kita sentuh dan lihat, namun mampu kita rasa. Lain individu membawa terjemahan warna yang berbeza. Dan setiap warna-warna yang terlukis ini membawa emosi yang berbeza. Warna-warna inilah yang menghiasi malam dan sepi. Kita tak sendirian dengan kehadiran warna-warna ini.

Kerana itulah bagi saya warna itu berharga. Kerana setiap kali saya melihat sekeliling, ibu yang membelai anaknya, ayah yang mendukung sambil mencium anaknya, keluarga yang susah namun sentiasa tabah, orang yang sakit namun masih tersenyum, kebaikan dalam kesusahan, hikmah di balik kesedihan, kasih sayang dalam ikatan, saya melihat persepsi warna yang berbeza-beza. Dan saya belajar menghargai setiap warna yang hadir dalam hidup saya dari setiap warna-warna yang saya lihat ini :)

Hargailah warna-warna yang hadir dalam hidup. Kerana tak semua warna ini kekal walaupun di memori akan sentiasa kekal. Dan hargailah kebolehanmu melihat warna, kerana itu satu nikmat yang tak mampu kau ucap jika kau kehilangannya. Yang penting, percayalah mewarnai hidup dengan warna yang membahagiakan adalah pilihan kita. Mereka yang hadir dalam hidup tidak semuanya mampu beri warna yang menggembirakan, tapi terpulang pada kita bagaimana mahu mencorakkan warna-warna itu supaya terlihat indah dan menenangkan. Coraklah warna-warna ini dengan baik.


Semoga perkongsian ini memberi erti baru pada kalian tentang warna dan kehidupan :)

No comments: