10/22/2017

DETIK PERTAMA KALI BERGELAR IBU

Pertama kali,
Saat merasai detik melahirkan,
Saat melihat seorang bayi dalam pegangan doktor,
Waktu itu,
Dunia seakan berdesing seketika,
Bagai ada suara berbisik sayup,
Kau sudah melahirkan seorang insan,
Lahirnya putih bersih tiada dosa dan nista,
Coraklah dia sebaiknya.


Tubuhku terasa sungguh lemah dan tak berdaya,
Sebaik usai semua,
Hati hanya berlagu sayu,
Begini ibumu melahirkanmu,
Begini sakitnya,
Nah kini kau tahu.


Tak kusangka,
Aku baru saja melalui detik seperti kematian itu,
Sakitnya benar-benar tak terkira,
Namun tubuh kecil yang sempat ku lihat tadi,
Bagai mengubat segalanya yang kurasai beberapa saat sebelumnya.


Sungguh,
Masih banyak yang belum aku siapkan untuk menjadi seorang ibu,
Masih banyak yang belum aku pelajari,
Yang perlu aku betulkan dan baiki,
Tak terkata,
Aku masih punya kurang yang banyak sekali,
Namun Tuhan mungkin lebih tahu,
Kata-kata ibuku terimbau kembali,
Dari kenakalan anak-anaklah kita belajar menjadi lebih matang,
Terasa sebak seketika,
Tuhan mahu aku jadi lebih matang,
Tuhan mahu aku kenal erti pengorbanan,
Yang banyak sekali,
Dari detik pertama lagi aku bergelar seorang ibu,
Tuhan mahu aku menghargai ibu ayahku lebih lagi,
Tuhan mahu aku lebih dekat denganNya,
Tuhan kurniakan aku rezeki supaya aku lebih bersyukur dan selalu berdoa padaNya,
Tuhan tahu aku akan belajar lebih lagi dari kehadiran anak ini.


Hingga kini,
Aku masih belajar,
Aku masih dalam pengembaraanku sebagai hamba,
Ada masa tersungkur juga,
Ada masa ku akui aku masih lemah dan tidak mengerti,
Namun aku belajar terlalu banyak,
Banyak dari yang aku sangka,
Aku faham sesuatu yang dulunya tak pernah aku fahami,
Atau yang aku fikir aku sudah mengerti tapi sebenarnya tidak,
Aku mulai kenal dalamnya kasih sayang ibu ayahku terhadapku,
Aku mengerti perasaan-perasaan yang baru dalam hidupku,
Terlalu banyak.


Aku takkan mampu untuk jadi yang sempurna,
Walaupun buat anakku,
Namun aku ingin jadi yang terbaik,
Dan untuk sampai ke destinasi itu,
Aku harus lebih kuat,
Fizikal dan emosi,
Aku harus lebih tabah menghadapi liku-liku,
Aku tak boleh mudah rebah,
Kerana aku perlu tiba ke destinasi itu,
Destinasi menjadi ibu yang mithali, dan hamba Allah yang bertaqwa,
Itulah destinasi seorang ibu yang solehah.


Doakan aku teman-teman,
Doakan aku kuat,
Sentiasa,
Dalam apa jua keadaan,

Moga aku tidak pernah lupakan Tuhan.


P/S: Anakku, membesarlah dengan sihat dan jadilah insan beriman beilmu berguna dunia dan akhirat. Itu saja harapan ibumu. WIth lots of love.

10/02/2017

WARNA

Setiap dari kita punya berbeza pendapat dan penilaian tentang warna. Ini pandangan saya tentang warna :)

Warna punya banyak erti. Warna mampu menggambarkan pelbagai emosi. Warna juga bisa memberi makna.

Setiap warna yang hadir dalam hidup, terlihat atau tidak, sangat berharga dalam hidup jika diteliti. Seorang isteri memperlihatkan kecantikannya di hadapan suami degan warna. Seorang anak kecil mengenal dunia dengan warna. Seorang programmer membezakan kod yang ditulisnya dengan warna. Seorang kekasih mengenal mesej bunga yang diterimanya dengan warna. Seorang hamba Tuhan mengenal agungnya kuasa Tuhannya dengan warna. Seorang sahabat menyimpan memori bersama sahabatnya di dalam gambar dengan warna. Seorang pelajar mudah menghafal nota-notanya dengan warna. Dengan warna, kita mengenali, menghargai, menafsir dan memahami. Ini baru warna yang bisa kita lihat. Belum lagi dengan yang tak terlihat oleh kita.

Apa pula warna yang tak bisa kita lihat? Itulah warna yang hadir bersama memori dan insan-insan sekeliling. Warna yang tak bisa kita sentuh dan lihat, namun mampu kita rasa. Lain individu membawa terjemahan warna yang berbeza. Dan setiap warna-warna yang terlukis ini membawa emosi yang berbeza. Warna-warna inilah yang menghiasi malam dan sepi. Kita tak sendirian dengan kehadiran warna-warna ini.

Kerana itulah bagi saya warna itu berharga. Kerana setiap kali saya melihat sekeliling, ibu yang membelai anaknya, ayah yang mendukung sambil mencium anaknya, keluarga yang susah namun sentiasa tabah, orang yang sakit namun masih tersenyum, kebaikan dalam kesusahan, hikmah di balik kesedihan, kasih sayang dalam ikatan, saya melihat persepsi warna yang berbeza-beza. Dan saya belajar menghargai setiap warna yang hadir dalam hidup saya dari setiap warna-warna yang saya lihat ini :)

Hargailah warna-warna yang hadir dalam hidup. Kerana tak semua warna ini kekal walaupun di memori akan sentiasa kekal. Dan hargailah kebolehanmu melihat warna, kerana itu satu nikmat yang tak mampu kau ucap jika kau kehilangannya. Yang penting, percayalah mewarnai hidup dengan warna yang membahagiakan adalah pilihan kita. Mereka yang hadir dalam hidup tidak semuanya mampu beri warna yang menggembirakan, tapi terpulang pada kita bagaimana mahu mencorakkan warna-warna itu supaya terlihat indah dan menenangkan. Coraklah warna-warna ini dengan baik.


Semoga perkongsian ini memberi erti baru pada kalian tentang warna dan kehidupan :)