7/02/2012

CINTA ITU MOTIVASI

Saya masih ingat ada satu ketika bila saya down sangat, saya lihat wajah mak ayah saya yang tersenyum ikhlas menghulurkan sokongan. Bagaikan memberitahu saya mereka sentiasa ada bersama. Supaya yakin dengan Allah dan kuat hadapi segalanya. Juga pelukan mesra yang menyumbang semangat dalam diri, yang sering menjadi inspirasiku sebagai anak.


Saya ingat lagi gelak tawa adik-beradik saya yang cuba untuk hiburkan hati saya bila dalam duka. Gurau senda yang mengusik tangkai hati, semuanya segar dalam ingatan saya. Perkongsian manis untuk satu kisah hidup yang sementara ini.


Saya ingat lagi senyuman sahabat yang sentiasa ada di sisi berkongsi suka dan duka. Bahu yang sentiasa sedia untuk dijadikan tempat melepaskan tangis bila masa kesedihan hadir menyelubungi. Pendengar yang baik buat keresahan hati yang perlukan tempat bercerita dan berkongsi rasa.


Saya ingat lagi sepupu-sepupu selaku teman sepermainan sewaktu kanak-kanak lagi. Hingga kini dewasa bersama mengejar pelbagai impian dalam hidup. Pernah suatu ketika berkongsi impian dan angan-angan itu ini, terlupa sebentar akan manisnya saat itu. Detik yang akan dirinduinya bila usia mencecah dewasa. I miss them already. And i will always insya-Allah.


Saya ingat lagi teman-teman sekolah yang dulu erat dan sentiasa bersama. Namun terpaksa akui perpisahan kan muncul jua bila mana masanya tiba. Seerat mana pun, jalan yang dilalui kan berbeza. Kini ia sudahpun berbeza. Meskipun sukar untuk bersua muka, namun jejak memori yang pernah kita lakar, kan tetap segar dalam ingatan insya-Allah.


SIAPA MAMPU MENDUGA, ESOK, LUSA, DAN HARI-HARI BERIKUTNYA. SEMUANYA TAK MAMPU KITA DUGA. HARI INI KITA MESRA, TAPI ESOK MUNGKIN BERBEZA. MUNGKIN KITA CUMA MAMPU TERSENYUM DAN BERTEGUR SAPA SEBENTAR SAJA. MAKA HARGAILAH SEMUA YANG KITA ADA KINI. HARAPAN ORANG PADA KITA JUGA PERLU DIHARGAI.


Namun setiap dan segala rasa cinta yang saya perolehi ini, tak terkira banyaknya. Tak terucap oleh kata betapa bahagianya saya berada di sisi insan-insan ini. Insan-insan yang Allah hadirkan ini adalah tanda Allah juga ada. Milik-Nyalah kita semua, dan milik-Nya jugalah setiap rasa cinta dan kasih sayang ini. Ye benar, cinta-cinta ini motivasiku. Motivasi untuk terus kuat hadapi jalan hidup yang penuh liku. Allah sedang buktikan, Dia tak pernah tinggalkan hamba-Nya terkapai-kapai sendirian dalam hidup. Dia sentiasa bersama, tanpa kita sedar hadir dalam kasih sayang insan-insan sekeliling. Syukur pada-Mu Ya Allah, untuk cinta-Mu yang sering menjadi motivasiku.


INNALLAHA MA'ANA.