Bismillah.
Alhamdulillah, masih mampu menulis after few years menyepikan diri. Tiba-tiba rindu ruangan yang pernah menjadi satu ruang biasa menulis segala cerita hati dan kisah hidup satu masa dulu. Tiba-tiba rindu zaman yang takkan berulang malah takkan bisa disentuh lagi. Tiba-tiba rindu sahabat-sahabat yang sama-sama berkongsi minat menulis dengan pena suatu masa dulu. Rindu yang takkan terubat dan takkan membawa pada berulangnya semua, semula.
Tapi alhamdulillah, zaman itu dinikmati sepenuhnya. Syukur tak terhingga, Tuhan ruangkan satu masa untuk saya lalui zaman itu dengan penuh kisah ria dan tawa. Kisah syahdu namun indah bila dikenang kembali.
Hari ini, sudah tentu, berbeza kisah dan ceritanya. Berbeza tanggungjawab dan hala tuju setiap yang pernah bersama. Berbeza ceritera dari yang pernah diimpi dan dicita. Namun berbezanya, ia indah atas sebab susunannya datang dari Dia. Siapa kita untuk merancang dan mnjadikannya nyata jika yang lebih tahu apa yang terbaik itu cuma Dia.
Ada yang kita sangka menjadi begini bertukar menjadi begitu. Ada yang kita sangka akan kekal begini berubah kepada sesuatu yang tidak pernah kita jangka. Ada yang kita sangka manis bertukar menjadi hambar dan tawar. Ada yang kita sangka pahit rupanya itu yang sebenarnya manis dan indah. Allahu, perancangan Dia, sebab itu saya katakan indah itu berbeza dari sudut pandangan setiap manusia. Tapi apa yang pasti akan menjadi benar-benar indah apabila kita melihat Dia sebagai perancang utama.
Mungkin tak semua yang kita sangka dan inginkan menjadi nyata. Tak semua yang kita harapkan datang membawa berita gembira. Namun pahit itu kadang cuma datang sebagai pembawa kita ke jalan Dia. Pahit yang kita tidak mahukan itu datang membawa kita bertemu insan-insan yang tak pernah ita sangka akan ketemu. Dan akhirnya, pahit itu yang membuatkan kita bangkit dan kembali berdiri, lebih kuat biarpun sendiri.
Alhamdulillah, syukur atas semuanya. Hanya Dia tahu betapa diri ini hiba mengenang segala suka dan duka yang sudah dilalui. Hanya Dia yang tahu, sedalam mana setiap rasa ini dan sebanyak mana ia membuahkan rasa-rasa baru untuk kembali, berdiri lebih kuat tanpa melihat kisah-kisah lama atau memandang ke belakang untuk sekadar bersedih dan merasakan penyesalan. Tidak. Tiada kekesalan akan apapun. Yang ada hanya syukur. Atas segala yang sudah diberi. Atas segala nikmat yang datang berjuta kali ganda lebih besar berbanding nyeri dan kesedihan.
Yang mendalami, Maryam :)